Melayu Dan Mamak Penang
Oleh: Dr. Mohd Asri bin Zainul Abidin
Isu perarakan maulid di Pulau Pinang menjadi kecoh. Ramai wartawan menghubungi saya bertanya tentang hukum perarakan maulid Nabi s.a.w itu. Ia sangat menarik. Sejak sekian lama orang Melayu berarak barangkali mereka terlupa bertanya asal-usul perarakan tersebut.
Banyak isu-isu yang akhir ini menjadi universiti terbuka untuk rakyat. Ya, seperti mana yang kita tahu bahawa sejarahwan Islam sepakat baginda Nabi s.a.w lahir pada Hari Isnin, cumanya mereka berbeza pendapat tentang tarikh lahir baginda s.a.w. Kita biasanya mendengar disebut pada tarikh 12 Rabi’ul Awwal. Namun ramai pengkaji yang menyatakan bahawa tarikh sebenar maulid baginda ialah pada 9 Rabi’ul Awwal.
Antara yang berpegang dengan tarikh ini al-Syeikh Safiyy al-Rahman al-Muabarakfuri iaitu penulis kitab Sirah terkenal Rahiq al-Makhtum. Di samping di sana ada beberapa tarikh lain yang disebut oleh pengkaji sejarah yang lain. Kegagalan untuk memberikan tarikh yang disepakati itu antaranya berpunca dari para sahabah, tabi’in dan tabi al-tabi’in atau disebut generasi salafus soleh tidak merayakan Maulid Nabi s.a.w.
Al-Imam Ibn Kathir (meninggal 774H) mencatatkan bahawa cadangan agar tarikh Maulid Nabi s.a.w dijadikan tarikh kiraan tahun Islam pernah dibuat kepada ‘Umar bin al-Khattab. Namun beliau tidak menerimanya.
Kata seorang pengkaji Sirah yang juga merupakan tokoh politik dan Ahli Parlimen Jordan, Dr Muhammad ‘Abd al-Qadir Abu Faris:
“Pada pendapat kami –Allah lebih mengetahui-, hikmah di sebalik penolakan Umar itu kerana beliau mempelajari dari Rasulullah s.a.w agar kita berbeza dengan Yahudi dan Kristian. Orang Kristian menentukan tarikh berdasarkan kelahiran Nabi Isa bin Maryam a.s. Mereka berlebihan dalam memuji dan membesarkan baginda sehingga sampai ke peringkat ketuhanan. Mereka kata: dia anak Allah, kadangkala “dia Allah” dan dia satu dari yang tiga.
Tujuan ‘Umar itu agar orang Islam tidak terjatuh seperti Kristian dalam berlebihan membesarkan Nabi s.a.w. Rasulullah s.a.w sendiri telah memberi amaran agar tidak berlebih-lebihan dalam memuji baginda. Sabda baginda: “Jangan kamu memujiku berlebihan seperti Kristian berlebihan memuji Isa bin Maryam. Aku hanya seorang hamba Allah. Katakanlah: “Hamba Allah dan rasulNya” (al-Bukhari). Maka Umar tidak menjadikan maulid Nabi s.a.w sebagai permulaan kalendar Islam untuk mengelakkan generasi kemudian menyeleweng” (Abu Faris, al-Hijrah al-Nabawiyyah, m.s 16, Jordan: Dar al-Furqan).
Inilah ulasan Dr Abu Faris dan pendapat ini dikongsi oleh ramai pengkaji yang lain.
Tanpa syak umat Islam berbangga dengan kedatangan Nabi s.a.w. Kelahiran yang membawa kebahagiaan dan rahmat kepada dunia sejagat. Cumanya, dalam proses mengelakkan persamaan di peringkat itu mereka tidak mengadakan sebarang perayaan khas. Bukan bererti mereka tidak menghargai. Sebaliknya generasi Salafussoleh merupakan zaman yang paling menghormati, mengikuti dan menghargai Nabi s.a.w.
- Gambar Hiasan
Mereka terjemahkan itu semua dalam tindakan dan perbuatan mereka. Mereka mengamalkan sunnah baginda dan menegakkan prinsip-prinsip kebenaran yang ditegakkan oleh baginda. Hakikatnya, mereka merayakan pengutusan Nabi s.a.w sebagai rasul sepanjang hayat mereka. Namun apabila muncul zaman Kerajaan Syiah Fatimiyyah di Mesir, perayaan Maulid Nabi s.a.w secara besar-besaran diadakan. Sebab itu dalam Fatawa al-Azhar diakui bahawa ahli sejarahwan Islam tidak mengetahui sesiapa pun yang memulakan perayaan Maulid Nabi s.a.w melainkan Kerajaan Syi’ah Fatimiyyah di Mesir yang mengadakannya secara besar-besaran. Mereka turut meraikan hari kelahiran tokoh-tokoh Ahlil Bait dan kelahiran Nabi Isa a.s.
Kemudian pada tahun 488H dihentikan oleh Khalifah mereka al-Musta’la billah. Kemudian ia dihidupkan oleh beberapa pemerintah yang lain. Para ulama pula berbeza pendapat tentang hal ini. Ada yang membantah habis-habisan. Ada pula yang mengizinkan dengan bersyarat tidak mengadakan sebarang ibadah baru sempena Maulid, iaitu seperti solat Maulid, atau puasa maulid, atau seumpamanya. Sudah pasti mengingati maulid dengan mempelajari Sirah baginda, berdiskusi mengenainya dan mengingatkan tentang kepentingan menghayati perjuangan baginda, tidaklah salah.
Adapun Kerajaan Fatimiyyah, mereka mempunyai agenda politik yang tersendiri. Mereka ingin berkempen kepada kekuatan aliran syiah mereka. Beberapa pemimpin sunni kemudiannya mengadakannya juga atas berbagai tujuan yang lain. Ia berlangsungan dalam kebanyakan negara sehingga dibawa ke negara kita ini.
- Gambar Hiasan
Melihat kepada sejarah perayaan maulid, maka jelas bahawa isu perarakan bukan isu pokok dalam ajaran Islam. Ia sangat sampingan. Bahkan perayaan itu sendiri antara amalan yang menimbulkan pro dan kontra sepanjang sejarahnya. Tidak mengadakan maulid tidak menjejaskan sebarang akidah atau amalan Islam. Tentu pasti, tidak berarak maulid tidak memberikan apa-apa kesan kepada kehidupan seorang muslim.
Cumanya, kita agak terkejut mengapa soal Islam dan umatnya cuba diuruskan oleh seorang pemimpin yang bukan Islam. Ini menimbulkan berbagai persoalan. Saya tidak fikir Ketua Menteri Pulau Pinang sampai ke peringkat perbahasan ilmiah seperti yang disebut kebanyakan sarjana tentang amalan maulid ini. Maka, apakah tujuannya? saya tidak jelas.
Namun masalah umat Islam Pulau Pinang lebih besar dari tidak dapat berarak maulid. Tidak berarak maulid bukan masalah. Apa yang menjadi masalah mereka terpinggir dan seakan ada usaha ingin menghalau mereka keluar dari pulau itu sejak sekian lama. Keadaan yang dicipta yang menghimpit kehidupan mereka di pulau tersebut sehingga mereka yang berkerja di situ lari mencari penempatan di Seberang Perai, atau Kulim dan Sungai Petani, Kedah.
Lonjakan harga rumah dan pengkhianatan sesama agama dalam pengurusan tanah dan harta telah bermula sejak sekian lamanya. Sebahagian yang bertempik sakan hari ini kononnya membela melayu Pulau Pinang, tangan mereka juga tidak lebih bersih daripada tangan-tangan kotor yang ada pada hari ini.
Bukan baru, atau setahun dua melayu terpinggir. Sudah lama. Malang sebuah negeri yang pernah dalam satu masa Perdana Menteri dan Ketua Pembangkang berasal darinya, tetapi umat Islam negeri tersebut sedang dihambat oleh suasana, rencana dan pengkhianat ‘orang lain’ dan sesama bangsa.
Sultan Muhammad Jiwa telah menjual Pulau Pinang kepada Inggeris. Di situ segala bermula. Cumanya, disebabkan suasana yang lebih bebas dari kongkongan pemikiran feudal, negeri ini sejak dahulu terkenal dengan melahirkan atau memberi ruang kepada tokoh pemikir dan orang yang petah berbicara.
Saya puji bukan kerana saya orang Pulau Pinang. Semaklah sendiri. Namun ternyata, hambatan kuasa ekonomi lebih kuat dari ketajaman fikiran dan kepetahan lidah. Pemikiran-pemikiran yang baik pun tidak mampu menghadapi kekuatan dan pengkhianatan sesama bangsa atau agama. Bukan perarakan maulid yang menentukan survival ‘melayu Pulau Pinang’. Ya, ‘survival melayu’. Itulah bahasa yang sering mereka gunakan “melayu Pulau Pinang”. Saya antara orang kurang selesa dengan perkataan perkauman yang seperti itu. Sebutlah ‘umat Islam Pulau Pinang’. Dada agama jauh lebih luas dari kesempitan bangsa. Insan boleh menjadi muslim walaupun dia dilahir tidak muslim.
Namun, seorang bukan melayu tidak boleh bertukar menjadi melayu. Isu bangsa sentiasa sempit. Isu Islam sentiasa luas dan memberi rahmat untuk semua. Hakikatnya, yang mengangkat sedikit sebanyak nama orang Islam di Pulau Pinang bukanlah melayu tetapi ‘India Muslim’ Pulau Pinang. ‘Depa panggil mamak’.
Kedai mamak nasi kandar dan kedai emas ‘keling’ (india muslim) yang menyebabkan kita dapat melihat orang Islam berniaga di Pulau Pinang. Bukan tiada peniaga melayu tulen, tetapi tidak begitu banyak. Alhamdulillah, mamak Penang sudi untuk mereka dipanggil ‘orang melayu’. Maka, masih terdengarlah kewujudan melayu Pulau Pinang.
- Gambar Hiasan
Sudah lama isu bangsa cuba diangkat. Cukuplah wahai melayu semua parti politik. Kekuatan kita ialah Islam. Berjuanglah atas semangat Islam. Ia lebih merangkumi setiap individu dan lebih adil untuk semua insan. Melayu Pulau Pinang tidak akan bangkit sekadar perarakan maulid. Sudah sekian lama kita berarak, apa hasilnya?! Dapat kita beli tanah, lot kedai dan rumah di Pulau Pinang lebih banyak?!
Kembali melihat isu dengan kefahaman Islam yang tulen dan merancang sebagai seorang muslim, bukan sekadar seorang melayu. Orang lain merancang, kita juga mesti merancang. Kita mengharapkan kekuatan semangat Islam dan pertolongan Allah, bukan sekadar semangat bangsa dan keris Hang Tuah.
0 comments:
Post a Comment